Lazada Malaysia

Cadangan Harga Lebih Murah Untuk Program Perumahan Generasi Kedua Felda


Felda pada Sabtu diminta mempertimbang untuk mewujudkan rumah dengan harga lebih murah iaitu antara RM25,000 dan RM40,000 sebagai alternatif kepada cadangan sedia ada di bawah program perumahan generasi kedua Felda.

Pengerusi Gabungan Warisan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail, berkata ia bagi membantu golongan berkenaan yang berpendapatan rendah dan kurang kemampuan di 317 penempatan peneroka Felda di seluruh negara.

Menurutnya, cadangan asal menetapkan rumah itu dijual pada harga antara RM70,000 dan RM80,000.

“Generasi baharu Felda ini bukan semua mereka bernasib baik, jadi kita nak menyediakan rumah untuk mereka yang berpendapatan di bawah RM2,000 termasuk yang mempunyai tanggungan lebih,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hala Tuju dan Impak Perumahan Generasi Baharu Felda di Subang, Sabtu.

Cadangan itu merupakan antara resolusi yang dirumus pada seminar sehari yang diadakan dengan kerjasama Perbadanan Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Bank Muamalat Malaysia Berhad, Skim Kredit Jaminan Pinjaman (SKJP), Pertubuhan Kontraktor Generasi Felda Malaysia serta 14 persatuan gabungan GWGF.

Dalam Belanjawan 2013, Felda antara lain diberi tanggungjawab membina 20,000 unit rumah untuk generasi baharu dalam tempoh lima tahun.

Rozali berkata, antara resolusi lain yang dicapai pada seminar itu ialah mewujudkan jawatankuasa perancangan dan perlaksanaan melibatkan agensi kerajaan, kerajaan negeri, Felda dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bagi memantau perjalanan program perumahan berkenaan.

Ia turut meluluskan resolusi berkaitan lokasi projek perumahan itu selain bersetuju mengadakan perbincangan dengan pihak bank dalam masa terdekat berhubung kelulusan pembiayaan rumah, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang dokumen pendapatan.

“Kita bercadang berjumpa dengan pihak Felda bagi berbincang mengenai resolusi yang dicapai hari ini minggu hadapan,” tambah Rozali - BERNAMA

0 Response to "Cadangan Harga Lebih Murah Untuk Program Perumahan Generasi Kedua Felda"

Catat Ulasan

Pihak JERING Daily tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan yang diutarakan melalui laman blog ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali blog.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri.

Hubungi Kami

Nama

E-mel *

Mesej *